Kata aku: Jika kehidupan dunia ini diibaratkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan, maka negara Jepun merupakan lubuknya (permainan dunia) .. Firman Allah Yang bermaksud: Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: Kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga). (Surah Aali Imran, Ayat: 14). Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir? (Surah Al-An'aam, Ayat: 32). Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak. (Surah At-Taubah, Ayat: 38). Diriwayatkan, pada suatu ketika Rasulullah s.a.w menghadap ke suatu tempat membuang sampah (mazbalah), lalu baginda memanggil para sahabat baginda sambil bersabda: "Ayuhlah, kejarlah dunia"; kemudian baginda mengambil cebisan kain yang telah usang dan tulang-tulang yang sudah reput sambil berkata: "Inilah dunia". Menurut riwayat yang lain, pada suatu hari Rasulullah s.a.w melihat kepada bangkai anak kambing yang dibuang oleh tuannya lalu baginda berpaling kepada para sahabatnya dan bersabda: "Adakah kamu melihat betapa hinanya bangkai kambing itu di sisi tuannya, demi Allah dunia ini lebih hina di sisi Allah melebihi kehinaan kambing tersebut di sisi tuannya. Kalaulah nilai dunia ini menyamai nilai sebelah sayap seekor nyamuk nescaya Allah tidak akan memberi seteguk airpun untuk minuman orang kafir". Baginda juga bersabda: "Hari kiamat semakin hampir sedangkan manusia semakin tamak-rakus kepada dunia dan mereka juga semakin jauh dengan Allah".
| |||||||||

